Jumaat, 1 Februari 2019

Wan Jamak melenting sikap pemain muda


 


ARKIB : 11/05/2011
Pemain Kedah, Mohd. Azmi Muslim (kanan) dihalang pemain Selangor Mohd. Asararuddin Putra Omar pada pertemuan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. - UTUSAN/Halim Khalid

ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Wan Jamak Hassan kecewa dengan sikap pemain muda pasukannya yang gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri, menyaksikan pasukan itu kalah 0-2 kepada Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun beraksi baik pada separuh masa pertama, namun pada separuh masa kedua, pemain muda yang ditempatkan pada bahagian serangan tidak bermain bersungguh-sungguh untuk mencari gol kemenangan.

Sebaliknya, kata beliau beberapa kesilapan yang dilakukan memberi peluang untuk Selangor memperoleh gol pertama pada minit ke-59.

"Saya lihat pemain muda terutamanya Ahmad Shakir Ali yang dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri tidak bermain bersungguh-sungguh dan tidak banyak melakukan gerakan agresif seperti yang saya harapkan.

"Hilang bola tak nak kejar, ini bukan pasukan bola sepak kampung, ini pasukan negeri dan dia perlu menghormati bendera dan pasukan negeri sendiri," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Wan Jamak berkata, tahap ketahanan pemain sedemikian menyebabkan mereka melakukan beberapa kesilapan sehingga Kedah tidak dapat mengutip sebarang mata di tempat sendiri.

"Saya ada masa lapan hari lagi sebelum bertemu Pahang pada 18 Mei ini untuk memperbaiki kesilapan yang telah kita lakukan.

"Saya nak memberi tekanan kepada mereka (pemain) pun tak patut, sebab bagi saya soal ketahanan tenaga perlu dilakukan sebelum saingan liga berlangsung dan mereka perlu tahu jadual perlawanan kali ini begitu padat dan mereka perlu menunjukkan satu ketahanan yang begitu tinggi.

"Kami akan berusaha untuk mencari pemain sandaran lain yang boleh membantu jentera serangan dalam usaha untuk mencari gol kemenangan pada perlawanan akan datang," kata Wan Jamak.

Kedah kini menduduki tangga kelima liga dengan 28 mata.

Kedah akan bertemu Pahang di Stadium Darul Aman dan kemudian bertemu dengan Kuala Lumpur 21 Mei ini di tempat yang sama. - Bernama



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eKf0A500
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan