KEDAH akan cuba mengikis 'badi' dalam cabaran sulungnya menentang Kuala
Lumpur pada pertandingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, malam ini, laporMARZUKI MOHAMAD.
''Badi yang dialami ketika bertemu Kuala Lumpur pada tiga perlawanan akhir
Piala Malaysia, berturut-turut iaitu tahun 1987, 1988 dan 1989, masih menghantui
Kedah,'' kata ketua pasukan, Radhi Mat Din.
Bagaimanapun, katanya, seluruh jentera pasukan termasuk dirinya sendiri
sudah menguatkan azam bukan sahaja untuk mengikis badi tetapi juga mencari
kemenangan pertama bila bertemu Kuala Lumpur.
Secara kebetulan, Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia pada
ketiga-tiga tahun itu, kini masih di bawah asuhan jurulatih, Chow Kwai Lam.
Sementara bagi Radhi pula, menjadi pemain tunggal dalam skuad berkenaan
yang masih meneruskan penglibatannya memimpin hijau kuning.
Selepas itu, katanya, pertemuan Kuala Lumpur - Kedah, sentiasa memberi
kelebihan kepada pasukan kota raya itu, bagaimanapun, ada kalanya hijau kuning
juga berjaya menjinakkan pencabarnya itu.
Mengenai percaturan pemain yang bakal diturunkan, ketua pasukan itu
memberitahu kesemua pemain utama mungkin dapat beraksi pada perlawanan pembuka
tirai itu.
''Ini termasuk striker kita, Che Zambil Ahmad, bagaimanapun keputusan
terakhir sama ada Zambil boleh turun atau tidak, bergantung atas nasihat Dr.
Sarwan, ''katanya.
Dalam hubungan ini, Kedah tidak menghadapi masalah di barisan serangan
kerana tunggaknya menjadi pilihan antara Zambil dan Zulfatah Dzulkarnain yang
bergandingan dengan Carlos Roberio.
Peranan membantu kelancaran barisan serangan turut dipikul bersama Andre
Luis Almeida Do Nascimento, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Radhi Mat Din dan
Mohamad Feriza Ismail, walaupun sebagai pemain midfeild.
Sementara barisan pertahanan, terdiri Khamal Idris Ali, Kane Mamadau Diallo
dan Mohamad Farouk Ismail, termasuk penjaga gol, S. Suresh, seharusnya lebih
berhati-hati.
Ini kerana pertahanan hijau kuning sejak dua tiga tahun ini cukup rapuh,
tidak semantap zaman Lee Kin Hong, Mohamad Ramli, Ng Chew Beng dan K.
Ravichandran.
Biar apa pun, kata Radhi, hijau kuning kini sudah bersedia dan seluruh
pasukan berada dalam keadaan dan sausana ceria di bawah pengurusan baru, Datuk
Mohd. Shariff Abu Samah.
Di samping itu, katanya, pasukan juga berjaya mengwujudkan persefahaman
baik di kalangan pemain import, lama dan muka- muka baru.
Published on: 04/04/1998
Tiada ulasan:
Catat Ulasan