Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
PENGADIL perlawanan dari Jepun, Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Baddrol puas cipta sejarah
Oleh Mohd Fitrie Muhammad danZulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui puas selepas berjaya mencipta sejarah peribadi dengan menjulang Piala FA buat kali keempat bersama Helang Merah.
Kedah dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini selepas menundukkan satu lagi pasukan dari utara tanah air, Perak 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Baddrol yang menjadi perancang utama Helang Merah tidak pernah berhijrah ke pasukan lain sepanjang kerjayanya sudah menjulang trofi itu pada 2007, 2008 dan 2017.
"Saya memang tekad untuk mendapatkan piala ini sebab saya ingin mencipta sejarah sebagai seorang pemain yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab," kata Baddrol pada sidang media selepas perlawanan.
Kedah seharusnya perlu berterima kasih kepada pemain gantian, Fadzrul Danel Mohd Nizam selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-105 memberikan kejuaraan Piala FA buat kali kelima kepada Helang Merah.
Selain itu, Baddrol menjelaskan kejayaan di Piala FA menjadi suntikan semangat buat pasukannya untuk fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan depan.
"Syukur kami dapat bawa balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia. Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan