Jumaat, 29 Julai 2016

Kedah akan cuba kikis 'badi' - Radhi

ARKIB : 04/04/1998
KEDAH akan cuba mengikis 'badi' dalam cabaran sulungnya menentang Kuala Lumpur pada pertandingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini, lapor MARZUKI MOHAMAD.

''Badi yang dialami ketika bertemu Kuala Lumpur pada tiga perlawanan akhir Piala Malaysia, berturut-turut iaitu tahun 1987, 1988 dan 1989, masih menghantui Kedah,'' kata ketua pasukan, Radhi Mat Din.

Bagaimanapun, katanya, seluruh jentera pasukan termasuk dirinya sendiri sudah menguatkan azam bukan sahaja untuk mengikis badi tetapi juga mencari kemenangan pertama bila bertemu Kuala Lumpur.

Secara kebetulan, Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia pada ketiga-tiga tahun itu, kini masih di bawah asuhan jurulatih, Chow Kwai Lam.

Sementara bagi Radhi pula, menjadi pemain tunggal dalam skuad berkenaan yang masih meneruskan penglibatannya memimpin hijau kuning.

Selepas itu, katanya, pertemuan Kuala Lumpur - Kedah, sentiasa memberi kelebihan kepada pasukan kota raya itu, bagaimanapun, ada kalanya hijau kuning juga berjaya menjinakkan pencabarnya itu.

Mengenai percaturan pemain yang bakal diturunkan, ketua pasukan itu memberitahu kesemua pemain utama mungkin dapat beraksi pada perlawanan pembuka tirai itu.

''Ini termasuk striker kita, Che Zambil Ahmad, bagaimanapun keputusan terakhir sama ada Zambil boleh turun atau tidak, bergantung atas nasihat Dr. Sarwan, ''katanya.

Dalam hubungan ini, Kedah tidak menghadapi masalah di barisan serangan kerana tunggaknya menjadi pilihan antara Zambil dan Zulfatah Dzulkarnain yang bergandingan dengan Carlos Roberio.

Peranan membantu kelancaran barisan serangan turut dipikul bersama Andre Luis Almeida Do Nascimento, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Radhi Mat Din dan Mohamad Feriza Ismail, walaupun sebagai pemain midfeild.

Sementara barisan pertahanan, terdiri Khamal Idris Ali, Kane Mamadau Diallo dan Mohamad Farouk Ismail, termasuk penjaga gol, S. Suresh, seharusnya lebih berhati-hati.

Ini kerana pertahanan hijau kuning sejak dua tiga tahun ini cukup rapuh, tidak semantap zaman Lee Kin Hong, Mohamad Ramli, Ng Chew Beng dan K. Ravichandran.

Biar apa pun, kata Radhi, hijau kuning kini sudah bersedia dan seluruh pasukan berada dalam keadaan dan sausana ceria di bawah pengurusan baru, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah.

Di samping itu, katanya, pasukan juga berjaya mengwujudkan persefahaman baik di kalangan pemain import, lama dan muka- muka baru.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FrMGTXEi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan