Khamis, 4 Ogos 2016

Nidzam dapat semula 'sentuhan'

SENTUHAN barisan hadapannya cukup menjadi namun Kedah masih perlu membayangkan laluan getir yang akan dihadapi apabila bertemu Perlis dalam perlawanan Perdana Satu, di Stadium Utama, Kangar, Sabtu ini.

Kombinasi mantap belum tentu lagi menjamin laluan mudah jika seluruh jentera Kedah tidak memberi sepenuh perhatian kepada usaha gigih Singa Utara untuk ''membalut luka'' selepas tewas 0-5 kepada Perak.

Pemain tengah, Mohd. Nidzam Adzha Yusof yang menyumbat gol pertama sewaktu membantu Kedah membelasah Kuala Lumpur 5-1 dalam perlawanan pembukaan Perdana Satu, Sabtu lalu, berkata, kesebelasan utama skuad Kenari seharusnya beranggapan bahawa Perlis pasukan cukup berbahaya.

''Selepas berjaya menghasilkan jaringan dalam perlawanan pembukaan, saya yakin Kedah mampu untuk terus memburu mata penuh asalkan kesemua pemain tidak memandang rendah keupayaan lawan (Perlis),'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar, semalam.

Mengenai keupayaannya menghasilkan jaringan, Mohd. Nidzam memberitahu, kemampuan tersebut terhasil daripada keyakinan tinggi untuk mendapatkan semula 'sentuhan' setelah gagal beraksi secara konsisten sebelum ini.

''Ini adalah permulaan terbaik untuk saya kembali mencari lebih banyak jaringan buat Kedah setelah gagal memberi banyak sumbangan pada musim lalu,'' tambahnya.

Sumbangan Mohd. Nidzam agak terbatas pada musim lalu kerana lebih banyak berehat selepas mengalami kecederaan serius yang menyaksikan dia hanya berkesempatan menjaringkan empat gol dalam pusingan kedua Liga Perdana.

Ditanya sama ada dia kekok beralih posisi daripada pemain sayap ''midfield,'' Mohd. Nidzam berkata, perubahan tersebut bukannya masalah besar untuk diterapkan sewaktu beraksi dengan Kedah.

''Sememangnya agak selesa di bahagian sayap tetapi saya juga boleh bermain di posisi ''midfield'' kerana mendapat sokongan padu daripada rakan sepasukan.

''Bagi saya, pasukan Kedah musim ini lebih mantap kerana kesemua pemain dapat menjalin persefahaman dengan lebih berkesan,'' tambah beliau.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4GLgtmKvg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiga pemain digantung perlu tingkatkan prestasi

TIGA pemain Olimpik 2000 Muhamad Khalid Jamlus, V. Saravanan dan M. Elangoo perlu membuktikan kemampuan sebenar mereka sebelum disenaraikan semula dalam kesebelasan utama mengharungi kempen Perdana Satu, lapor AMRAN MULUP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan