ARKIB : 02/04/1998
KEDAH tetap menjanjikan barisan
terbaiknya sekalipun Cik Zambil Ahmad yang masih dibelenggu kecederaan belum
tentu diturunkan menentang Kuala Lumpur dalam perlawanan pembuka tirai bola
sepak Perdana Satu, di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini, lapor ZAINU'L
AZHAR ASH'ARI.
Pengurus Kedah, Datuk Mohd.
Shariff Abu Samah, memberitahu, ini kerana perlawanan pertama memerlukan
komitmen penuh pemain untuk mencari kemenangan awal di gelanggang sendiri.
''Kemenangan dalam perlawanan
pertama cukup penting untuk menyemarakkan semangat pemain dalam menghadapi
pertandingan seterusnya,'' kata beliau sewaktu dihubungi di Alor Setar,
semalam.
Sehubungan itu, kata Mohd.
Shariff, Kedah akan menurunkan kesebelasan terbaik di samping berharap Cik
Zambil kerana kecederaannya tidak terlalu serius.
''Ada kemungkinan Cik Zambil
akan pulih sebelum perlawanan, jadi kesebelasan utama yang akan menghadapi
Kuala Lumpur lebih mantap lagi,'' tambah beliau.
Ditanya tentang Kuala Lumpur,
Mohd. Shariff menyifatkannya sebagai pasukan yang baik kerana dibarisi pemain
handalan serta dibimbing jurulatih berpengalaman, Chow Kwai Lam.
Kata beliau, Kuala Lumpur tidak
boleh dianggap mudah, sebaliknya barisan Kedah perlu bermain dengan bersungguh-sungguh
untuk menghadapinya.
''Bukan setakat Kuala Lumpur,
malah kesemua pasukan dalam Perdana Satu hendaklah dianggap oleh pemain Kedah
sebagai pasukan handal.
''Ini kerana setiap pasukan
yang bertanding dalam Perdana Satu sudah bersiap sedia dari awal lagi serta
mempunyai kelebihan tersendiri,'' kata beliau.
Mengenai persiapan Kedah dalam
Perdana Satu, Mohd. Shariff berkata, skuad Hijau Kuning sudah menjalani latihan
cukup rapi di samping mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk membentuk
pasukan mantap musim ini.
Menurut pengurus berkenaan,
latihan begitu rapi di samping perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan
kelab dan juga negeri lain menampakkan banyak peningkatan dalam pasukan Kedah.
Skuad Kenari menghadapi musim
ini tanpa banyak perubahan kecuali penjaga gawang, Ahmad Sobri Ismail, Manja
Man dan Hashim Mustapha yang berhijrah ke pasukan lain.
Namun, Kedah mengikat bekas
penjaga gol Perlis, Amran Omar dan tonggak pertahanan dari Perak, Zainal Abidin
Abu Bakar untuk memperkukuhkan kubunya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FqgqA7O5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan