Rabu, 7 Julai 2021

KDA FC tumpu baki saingan Liga Super

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Sebahagian pemain KDA FC giat menjalani latihan di Alor Setar. FOTO Ihsan KDA FC.

Kuala Lumpur: Fokus dan misi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini kembali terarah dalam saingan Liga Super selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan terpaksa membatalkan saingan Piala AFC membabitkan tiga kumpulan yang turut diisi skuad Hijau Kuning itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, pihaknya akur dengan keputusan AFC itu yang berpunca daripada wabak Covid-19 hingga menyebabkan tiada negara yang sanggup menganjurkan aksi peringkat kumpulan Piala AFC itu.

"Kita tak boleh nak buat apa dan kena ikut saja keputusan dibuat AFC. Tak ada guna kita nak melawan atau fikirkan lagi sebab isu pembatalan pun disebabkan wabak.

"Kita terima keputusan itu dengan hati terbuka walaupun sudah banyak persiapan yang kita buat. Kalau ikutkan ini dah tahun kedua kita tak jadi main, tapi kita tak patah semangat.

"Sebaliknya kita akan beri fokus sepenuhnya untuk hadapi baki Liga Super dan saya percaya motivasi pemain tinggi untuk rebut lagi tiket Piala AFC musim depan pulal," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi satu kenyataan media dari AFC hari ini, badan induk itu mengesahkan perlawanan peringkat kumpulan membabitkan Zon Asean termasuk Kumpulan G, H dan I dibatalkan.

Pengesahan itu pastinya menyedihkan KDA FC dan satu lagi wakil negara Terengganu FC (TFC) yang sudah melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi saingan kedua tertinggi peringkat kelab Asia selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Untuk rekod, KDA FC mendapat slot ke Piala AFC selepas menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tempat kedua, diikuti TFC di tangga ketiga, manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) yang muncul juara liga meraih tiket ke ACL.

"Kita mahu cuba perbaiki pencapaian Liga Super musim lalu dan walaupun kita tahu JDT sebuah pasukan yang kuat, tapi kita perlu mencuba hingga akhir musim mana tahu rezeki memihak kita," kata Khamal yang juga bekas pemain Kedah pada era 90an itu.

Selepas mengharungi 13 aksi Liga Super musim ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kini di tangga ketiga dengan 26 mata di belakang JDT dan TFC yang masing-masing mengumpul 30 dan 27 mata.

Disiarkan pada: Julai 7, 2021 @ 3:32pm.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/727572/kda-fc-tumpu-baki-saingan-liga-

Sabtu, 3 Julai 2021

Ataya bawa bekalan motivasi untuk KDA FC

Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my



ATAYA kelihatan bersemangat selepas kembali menjalani latihan bersama pasukan di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan KDA FC

Alor Setar : Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Rabih Ataya mahu menjadikan gol jaringannya sewaktu membantu Lebanon pada aksi kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 di Korea Selatan bulan lalu sebagai pembakar semangat selepas kembali semula berlatih bersama skuad Hijau Kuning.

Pemain berusia 31 tahun ini juga turut berazam mahu mencapai tahap aksi terbaik yang disasarkannya dalam Liga Malaysia apabila bersambung semula bulan ini dan juga Piala AFC yang sedang dinantikan statusnya daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Gol jaringan ketika bersama skuad Lebanon menentang Turkmenistan bulan lalu membakar semangat saya dalam usaha meningkatkan lagi tahap permainan seterusnya bersama KDA FC pada musim ini.

"Dengan motivasi yang diperoleh ini, saya berharap dapat memberi sumbangan lebih baik bersama KDA FC dalam Liga Malaysia selepas liga bersambung nanti, dan pada masa yang sama menantikan status Piala AFC sama ada dapat dilangsungkan atau sebaliknya pada tahun ini.

"Namun apa yang saya harapkan adalah aksi Piala AFC dapat berlangsung pada tahun ini kerana semua pemain sudah pasti mahu berusaha meningkatkan kemampuan diri bersama KDA FC ke peringkat yang lebih tinggi." katanya.

Ataya yang baharu kembali menjalani latihan bersama pasukan dua hari lalu juga berkata, dalam masa yang sama galakan dan dorongan sedia ada yang diberikan ketua jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak turut menambah keyakinannya dalam usaha peningkatan aksi yang disasarkan.

"Kini saya kembali menjalani latihan bersama pasukan dan tempoh masa yang ada ini saya mahu terus kekalkan momentum kecergasan pada tahap terbaik, yang mana ini sangat penting dalam persiapan pasukan seterusnya." katanya.

Skuad KDA FC sebelum ini melahirkan rasa bangga diatas pencapaian Ataya yang membantu pasukan negara Lebanon untuk layak ke pusingan ketiga saingan kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 di Stadium Goyang, Korea Selatan.

Pencapaian terbaiknya adalah sumbangan jaringan satu gol sewaktu pasukannya menentang Turkmenistan pada 9 Jun lalu selain beberapa aksi bantuan jaringan yang ditampilkan ketika aksi menentang Sri Lanka sebelum itu.

Disiarkan pada: Julai 3, 2021 @ 12:56pm.1

___________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/725868/ataya-bawa-bekalan-motivasi-untuk-kda-fc

Selasa, 18 Mei 2021

Dua pemain KDA FC tamatkan zaman bujang

Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my



DUA pemain KDA FC Ifwat Akmal (kanan) dan Fayadh menamatkan zaman bujang bersama pasangan masing-masing pada 15 dan 16 Mei 2021.FOTO Ihsan san KDA FC

DUA pemain KDA FC Ifwat Akmal (kanan) dan Fayadh menamatkan zaman bujang bersama pasangan masing-masing pada 15 dan 16 Mei 2021.FOTO Ihsan san KDA FC

Alor Setar: Suasana Aidilfitri untuk skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim ini turut dimeriahkan dengan berita dua pemainnya melangsungkan perkahwinan sebaik memasuki bulan Syawal.

Dua pemain yang menamatkan zaman bujang masing-masing itu ialah penjaga gol berusia 24 tahun Ifwat Akmal Chek Kassim yang memilih tarikh 15 Mei bersama pasangannya untuk melangsungkan majlis akad nikah di sebuah masjid di Pendang, Kedah.

Sementara itu pemain sayap lincah Fayadh Zulkifli 22, juga turut memilih bulan Syawal ini iaitu pada 16 Mei bersama pasangannya sebagai tarikh melangkah ke alam rumah tangga dan majlis akad nikah berkenaan juga diadakan di Pendang, Kedah.

Perkembangan berkenaan turut dihebahkan melalui laman rasmi KDA FC hari ini sambil diikuti penyokong Kedah yang turut mengambil kesempatan memberi ucapan tahniah kepada kedua-dua pemain berkenaan.

"Seluruh warga KDA FC ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim dan pemain sayap, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin yang telah melangsungkan perkahwinan mereka semalam.

"Semoga dengan kehadiran suri hati, akan terus memberikan suntikan motivasi yang tinggi dalam mempamerkan aksi yang cemerlang bersama pasukan KDA FC. 'Selamat melayari bahtera rumah tangga', katanya.Disiarkan pada: Mei 17, 2021 @ 6:43pm.1

_______________________________________________

Ahad, 2 Mei 2021

KDA teruskan rentak cemerlang

ZURAIMEE ZAINAL | | 01 Mei 2021




Sherman meraikan jaringan bersama pemain Hijau Kuning lain semasa perlawanan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat malam ini. - Foto Kedah Darul Aman FC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC meneruskan rentak cemerlang apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut saingan liga setelah menjinakkan Melaka United 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.
Anak buah Aidil Sharin Sahak yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Alor Setar pada Sabtu lalu ternyata dalam kelas tersendiri apabila meledak tiga gol dengan dua gol hasil jaringan Kpah Sherman menerusi penalti pada minit ke-18 dan 62 diikuti jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-86.
Skuad Hang Tuah kendalian Zainal Abidin Hassan yang mengejutkan Perak 1-0 di Ipoh pada 25 April lalu berjaya merapatkan jurang hasil jaringan penalti Stefan Nikolic minit ke-38.
Kemenangan di laman lawan tersebut membolehkan skuad Hijau Kuning mengumpul 23 mata manakala Melaka United yang dipotong tiga mata sebelum ini kerana masalah kewangan sekadar mengumpul 10 mata selepas kedua-dua pasukan mengharungi 11 perlawanan.
Dalam satu lagi aksi, Kuala Lumpur (KL) City FC menafikan peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke momentum kemenangan apabila mengikat skuad Benjamin Mora 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Harimau Selatan yang mendominasi separuh masa pertama hampir mendahului perlawanan, namun sepakan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-38 oleh pemain import Gonzalo Gabriel Cabrera sekadar menggegarkan palang gol tuan rumah.
Skuad kendalian Bojan Hodak membuka tirai jaringan menerusi pemain import Romel Morales yang dengan mudah menolak masuk bola ke gawang JDT, hasil tandukan rakan sepasukan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid pada minit ketiga masa kecederaan babak pertama.
Bagaimanapun pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan kapten Hariss Harun pada minit ke-55 hasil sepakan sudut Muhammad Nazmi Faiz Mansor.
Keputusan tersebut menyaksikan Harimau Selatan kini mengumpul 24 mata manakala Kuala Lumpur City pula mengumpul 13 mata selepas kedua-dua pasukan mengharungi 11 perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/136341/BERITA/Sukan/KDA-teruskan-rentak-cemerlang© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Sabtu, 24 April 2021

Aidil kagum kebangkitan pemain

Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my



PEMAIN KLCity FC mengawal ketat tonggak KDA FC pada aksi di Stadium Darul Aman semalam. FOTO Ihsan KDA FC

Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak meluahkan rasa kagum dengan semangat kebangkitan yang dibuktikan pemainnya pada saat akhir dan seterusnya menghadiahkan kemenangan bermakna menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 di Stadium Darul Aman semalam.

"Tahniah untuk semua pemain di atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan, saya seakan tidak percaya dalam beberapa minit terakhir saja, pemain berjaya bangkit mendapatkan tiga mata yang dicari selepas ketinggalan.

"Pemain menunjukkan sikap tidak mudah menyerah kalah dan memburu kemenangan hingga ke saat akhir perlawanan walaupun kita tahu KL City memiliki kekuatan dengan membariskan pemain yang kompak dan teratur hingga memaksa kami bekerja dengan lebih keras sepanjang tempoh perlawanan.

"Pemain gantian dan pemain muda yang masuk juga menunjukkan usaha terbaik mereka bagi membantu pasukan, dan inilah karektor yang ada dalam pasukan yang saya harap dapat terus konsisten untuk perlawanan akan datang," katanya.

Menyentuh mengenai keseluruhan aksi kemenangan ini, Aidil Sharin berkata, skuadnya bagaimanapun tidak boleh bersikap puas hati dengan kejayaan yang diperoleh ini, sebaliknya, setiap pemain harus terus mempertingkatkan lagi keupayaan diri dalam latihan bagi menghadapi banyak lagi perlawanan selepas ini.

"Kita akan melihat kembali setiap aspek kelemahan yang ada dalam perlawanan melalui video selepas ini untuk mengatasi setiap kelemahan dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Tambah Aidil Sharin lagi, dengan jumlah dua gol yang dibolosi skuadnya semalam, beliau berharap kekuatan barisan pertahanan juga perlu dipertingkatkan lagi terutama aspek konsentrasi bagi mengatasi kesilapan mudah.

"Kita mahu jentera pertahanan terus meningkatkan keupayaan mereka selanjutnya dan di akhir musim nanti kita berharap dapat melihat keupayaan mereka tidak dibolosi banyak gol," katanya lagi.

Disamping itu, pengendali skuad Hijau Kuning ini juga melahirkan perasaan bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Kedah yang hadir memberi sokongan di Stadium Darul Aman.

"Inilah semangat yang ditunjukkan di Stadium Darul Aman, di mana apabila kita ketinggalan, penyokong juga memainkan peranan mereka dengan memberi sorakan semangat untuk pasukan kembali bangkit.

"Saya juga mengingatkan pemain bahawa kemenangan ini sangat penting untuk penyokong yang hadir dan yang menonton dari luar yang sangat mengharapkan kemenangan pasukan," katanya.

SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 12:19pm

Semua pemain bagaikan hero - Tchetche

Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my



PENYERANG import KDA FC, Tchetche ceria meraikan gol ketiga pasukannya pada aksi menentang KL City di Stadium Darul Aman semalam. FOTO Ihsan KDA FC

Alor Setar : Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kipre Tchetche tidak mahu melabelkan dirinya seorang sebagai hero pasukan selepas meledakkan dua gol membantu skuad Hijau Kuning bangkit menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 di Stadium Darul Aman semalam.

"Saya bukanlah hero tetapi saya hadir untuk membantu pasukan mencari kemenangan namun dengan kerjasama semua pemain yang ditunjukkan ada malam ini menjadikan mereka juga sebenarnya hero dalam pasukan.

"Saya rasa bertuah dapat menyumbangkan dua gol malam ini dan saya juga anggap tuah menyebelahi kami dan saya ucapkan tahniah kepada semua pemain dalam pasukan yang berjuang hingga ke minit terakhir.

"Bagi saya kami berusaha dengan penuh semangat dan disiplin serta tidak mengalah untuk bangkit disamping tidak mudah untuk melepasi ruang pertahanan KL City yang begitu kompak, namun kami berjaya melakukan perancangan dari sayap seperti yang diarahkan oleh jurulatih," katanya.

Penyerang kelahiran Ivory Coast yang sudah meledak empat gol setakat ini berkata dia menyifatkan keadaan perlawanan ini sebagai 'gila' dan mendebarkan kerana dua kali Kedah terpaksa bangkit menyamakan kedudukan termasuk penjaga gol yang berjaya menyelamatkan kedudukan di saat genting.

"Tugas saya adalah sebagai 'Target Man' malam ini dan peningkatan tempo permainan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan menambahkan lagi debaran dan semangat semua pemain untuk berjuang hingga tiupan wisel penamat.

"Pada aksi lalu sewaktu menentang Terengganu dan Perak, saya tidak dapat menyempurnakan gol pada minit akhir yang mana menyebabkan kami terlepas mata penuh, namun pada kali ini kami merasa cukup bertuah dapat bangkit kembali memungut tiga mata.

"Boleh dilihat semua pemain merasa puas dan gembira dan inilah suasana dan keadaan yang semua dinantikan dalam setiap perlawanan bola sepak," katanya.

Tchetche juga mengakui agak terasa dengan ketiadaan rakan sepasukannya Kpah Sherman yang digandingkan bersamanya pada setiap perlawanan.

"Tidak dinafikan pasukan agak terasa dengan ketiadaan Sherman pada malam ini namun, saya perlu kuatkan semangat dan teruskan perjuangan untuk beraksi di bahagian atas dan saya perlu ubah sedikit corak permainan sebelum ini agar saya tidak berada jauh dalam kawasan serangan.

"Gol kemenangan ini juga adalah hadiah buat seluruh penyokong Kedah yang mengharapkan kemenangan di laman sendiri kali ini," katanya.

SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 3:25pm

Jumaat, 2 April 2021

KDA FC menang bukan kerana 'tuah'

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 03 April 2021




Aidil Sharin mahu semua pemainnya melupakan segera kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan fokus kepada aksi seterusnya bertemu Selangor FC pada Selasa ini. FOTO IHSAN KDA FC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak bergantung kepada 'tuah' apabila menang mengatasi Sri Pahang FC 3-1 selepas pelawat dilayangkan satu kad merah dan tuan rumah pula memperoleh satu sepakan penalti pada aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, usaha yang ditunjukkan oleh semua pemainnya sepanjang lebih 90 minit memastikan kelabnya berjaya meraih tiga mata penting di laman sendiri.
Menurutnya, bola sepak adalah sukan yang memerlukan kerja keras untuk memburu gol dan perkara tersebut telah diterjemahkan oleh anak-anak buahnya semasa mengatasi skuad Tok Gajah.
"Saya tidak begitu percaya kepada 'tuah' dalam sukan bola sepak, kita yang perlu bekerja keras untuk mencipta peluang. Jika kita tidak berusaha mencipta peluang, kita tidak mampu untuk menjaringkan gol," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pengendali dari Singapura itu berkata, beliau mengakui pasukannya bermula agak perlahan pada awal separuh masa pertama sehingga menyaksikan Tok Gajah berjaya memberikan tekanan kepada mereka.
"Bagaimanapun saya memuji kebangkitan semula pasukan selepas 15 minit kerana berjaya memberikan saingan sengit dan saling berbalas serangan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Bukan mudah untuk menewaskan Sri Pahang FC walaupun mereka bermain 10 orang kerana dapat dilihat pelawat memberikan tumpuan kepada barisan pertahanan mereka. Namun kelebihan berada di pihak kami kerana mampu melakukan serangan dengan lebih baik," katanya.
Aidil Sharin berkata, beliau mahu pemainnya segera melupakan kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan kembali fokus kepada aksi seterusnya menentang Selangor FC pada Selasa ini di laman lawan.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyifatkan kad merah yang dilayangkan oleh pengadil terhadap Herold Goloun pada minit ke-16 menyebabkan kelabnya hilang rentak permainan untuk sekurang-kurangnya seri di Darul Aman.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan anak-anak buahnya bermain dalam tertekan kerana beraksi dengan 10 pemain sahaja.
"Pada separuh masa pertama, kita masih lagi melawan namun apabila separuh masa kedua, gol penalti yang diperoleh oleh tuan rumah memusnahkan segalanya. Selain itu nampak keletihan yang ketara ditunjukkan oleh pemain saya kerana telah memberikan segala-galanya," katanya.
Pada perlawanan tersebut, KDA FC memperoleh jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke- 36, ke- 71 dan sepakan penalti Kpah Sherman pada minit ke-46 manakala Sri Pahang FC memperolehi gol tunggal menerusi Muhammad Nur Izzat Che Awang pada minit ke-41.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/131765/BERITA/Sukan/KDA-FC-menang-bukan-kerana-tuah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

Sabtu, 13 Mac 2021

Sherman penyelamat Kedah

MyMetroTopic



Kuala Lumpur: Penang FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila hanya mampu seri 1-1 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), malam ini.

Pada perlawanan di Stadium Bandaraya itu, tuan rumah terlebih dahulu di depan pada minit ke-11 menerusi jaringan Endrick Dos Santos selepas penjaga gol Kedah, Shahril Sa'ari gagal menangkap kemas bola rembatan Casagrande.

Padang yang becak menjejaskan kelancaran jentera serangan kedua-dua pasukan dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Skuad pelawat kendalian Aidil Shahrin Sahak tampil lebih garang dalam usaha mencari gol penyamaan pada babak kedua namun dihampakan ketumpulan tindakan penyudah.

Aidil kemudiannya membawa masuk Azamuddin Akil untuk menambah sengat dan membuahkan hasil apabila umpanannya membolehkan Kpah Sherman menyamakan kedudukan buat Helang Merah pada minit ke-86.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan membolehkan kedua-dua pasukan

berkongsi empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini dan menduduki tangga keempat serta kelima liga.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 11:42 PM 

Selasa, 9 Mac 2021

KDA FC raih tiga mata pertama

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 09 Mac 2021




Kpah menjaringkan gol pada minit ke-20 selepas KDA FC berjaya melakukan serangan balas. FOTO IHSAN KDA FC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC kembali mempamerkan karakter sebenar apabila menewaskan Sabah FC 2-0 pada aksi kedua Liga Super di Stadium Darul Aman pada Selasa.Gandingan penyerang sensasi Hijau Kuning, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan pasukan mereka meraih tiga mata pertama musim ini.
Gol pertama Kedah hadir menerusi Kipre yang menolak masuk bola ke gol lawan hasil percubaan Kpah yang tertampan kaki pemain lawan pada minit ke-15.
Kpah melebarkan jaringan tuan rumah pada minit ke-20 selepas melakukan larian solo dengan menewaskan dua pemain Sabah FC.
Pelawat yang menurunkan beberapa pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah, Bobby Gonzales dan Mafry Balang gagal membantu The Rhinos untuk membolosi jaring tuan rumah sehingga tamat separuh masa pertama.
KDA FC memperhebatkan asakan pada separuh masa kedua untuk menambah jumlah jaringan gol, namun disiplin tinggi ditunjukkan pelawat menyaksikan tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-0 yang kekal sehingga ke wisel penamat.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127691/BERITA/Sukan/KDA-FC-raih-tiga-mata-pertama© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Selasa, 2 Mac 2021

Kedah, TFC berentap Piala AFC di Singapura

Mac 2, 2021 @ 2:02pm



Logo Piala AFC.

KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terenganu FC akan beraksi dalam saingan peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 di Singapura.

AFC dalam pengumumannya berkata Singapura disahkan selaku tuan rumah bagi Kumpulan H yang terdiri daripada Kedah Darul Aman FC, Lion City Sailors (Singapura), Saigon FC (Vietnam) dan pemenang perlawanan play-off 2 Zon ASEAN.

Singapura juga akan menjadi tuan rumah Kumpulan I terdiri daripada Geylang International FC dari Singapura, Kaya FC-IIoilo (Filipina), Terengganu FC dan wakil Myanmar, Shan United FC atau Ayeyawady United FC, bergantung kepada keputusan perlawanan peringkat awal dan play off Liga Juara-Juara AFC 2021.

Prestasi Kedah melonjak selepas Liga Malaysia disambung lewat Ogos tahun lepas apabila menduduki tangga kedua di dalam Liga Super yang memberikan ia slot automatik dalam pertandingan Piala AFC tahun ini.

Terengganu FC yang menduduki tangga ketiga Liga Super 2020 mendapat slot di dalam kejohanan itu dalam Liga Malaysia 2020 yang dipendekkan dengan pembatalan Piala FA dan Piala Malaysia berikutan peningkatan kes COVID-19 di dalam negara.

AFC juga mendedahkan venue untuk Kumpulan G, yang juga dalam Zon ASEAN akan diputuskan kemudian.

Selain itu, AFC mengesahkan perlawanan dalam Kumpulan A, mengetengahkan Al Hidd Club (Bahrain), Al Nasr (Oman), Al Wahda (Syria) dan juara bertahan Al Ahed FC (Lubnan) akan dihoskan Manama, Bahrain.

Sementara itu, Kumpulan B terdiri daripada Al Ansar FC (Lubnan), Muharraq Club (Bahrain), Al Salt (Jordan) dan Balata Center (Palestin) selain Kumpulan C terdiri daripada Al Faisaly (Jordan), Al Seeb Club (Oman), Tishreen (Syria) dan pemenang perlawanan play-off Zon Barat akan berlangsung di Amman, Jordan.

Perlawanan Kumpulan D, termasuk ATK Mohun Bagan (India), Bashundhara Kings (Bangladesh), Maziya Sports & Recreation (Maldives) dan pemenang perlawanan play-off Zon Selatan yang bakal berlangsung di Male, Maldives.

FC Dordoi (Kyrgyzstan) yang akan menjadi kelab tuan rumah Kumpulan E, yang juga mengetengahkan Ahal FC (Turkemistan) dan FC Ravshan (Tajikistan) dengan Dushanbe, Tajikistan menyediakan tirai latar untuk perlawanan Kumpulan F, terdiri daripada FC Alay (Kyrgyzstan), Altyn Asyr FC (Turkmenistan), FC Khujand (Tajikistan) dan wakil Uzbekistan, AGMK FC atau FC Nasaf yang bakal ditentukan selepas perlawanan play off Liga Juara-Juara AFC 2021.

- BERNAMA-SUMBER-SUMBER BH ONLINE

Selasa, 23 Februari 2021

KDA FC masih belum serasi

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 22 Februari 2021




Syazwan (kanan) turut diturunkan pada aksi persahabatan menentang Penang FC di Stadium Negeri Pulau Pinang yang berkesudahan KDA FC tewas 3-1 pada Ahad.
TAHAP keserasian pemain-pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC belum mencapai 100 peratus dan perlu dipertingkatkan lagi sebelum aksi Piala Sumbangsih 2021 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 5 Mac depan di Stadium Sultan Ibrahim.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, keputusan kurang memberangsangkan pada dua aksi persahabatan sebelum ini tidak boleh dijadikan sebagai ukuran.Sebaliknya, beliau berkata, keserasian pemain perlu dipertingkatkan lagi pada aksi persahabatan menentang Selangor FC pada 24 Februari, Skuad Projek Majlis Sukan Negara (26 Februari) dan Sarawak United (27 Februari)."Kita baru memulakan latihan selepas lama berehat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun baru berlatih dalam empat, lima hari tapi perkembangan itu positif cuma kena perbaiki lagi.“Gabungan pemain lama dan baharu juga baik tapi boleh diperbaiki dalam perlawanan persahabatan lepas ini sebelum berjumpa JDT,” katanya kepada pemberita di Alor Setar pada Isnin.Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beberapa pemain baharu seperti Rodney Calvin dan Rozaimi Abdul Rahman juga sedang menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan termasuk pihaknya melakukan beberapa pertukaran baharu pada setiap perlawanan.
Sementara itu, pemain sayap Kedah, Mohd Syazwan Zainon mengakui semua pemain sedang bekerja keras untuk mencapai tahap kecergasan masing-masing selepas kembali berlatih bersama sejak 15 Februari lalu.
Menurutnya, dia melihat sudut yang positif di dalam pasukan itu apabila jurulatih termasuk semua pemain berusaha memperbaiki segala kekurangan yang ada.
"Walaupun tewas 3-1 kepada Penang FC dalam perlawanan pada Ahad, namun dari segi permainan dan taktikal rasanya kita berada pada tahap yang baik.
"Cuma perlu gandakan usaha untuk perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/125154/BERITA/Sukan/KDA-FC-masih-belum-serasi© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Kekalahan kepada Pulau Pinang tak resahkan Kedah



AKSI persahabatan menentang Pulau Pinang, Ahad lalu bukan ukuran kekuatan sebenar Kedah. - KEDAH DARUL AMAN FC

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

23 Februari 2021, 2:59 pm

ALOR SETAR: Kekalahan 3-1 kepada Pulau Pinang dalam aksi persahabatan di Stadium Batu Kawan semalam tidak boleh dijadikan ukuran terhadap prestasi sebenar Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjelang aksi sulung menentang JDT, 5 Mac depan.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, beliau bersama barisan kejurulatihan ketika ini masih lagi menjalankan beberapa eksperimen termasuk melibatkan pertukaran dalam kalangan pemain.

Begitupun katanya, di sebalik kekalahan itu, terdapat beberapa perkara positif yang diperolehi bagi dijadikan panduan dalam hari mendatang.

Dalam perlawanan semalam, pemain tampak belum 100 peratus berada pada tahap sebenar. Itu boleh difahami kerana kami baru saja dibenarkan untuk kembali berlatih setelah berehat agak panjang sebelum ini.

Begitu pun kebanyakan pemain baharu tampak kian beradaptasi dengan apa yang mahu diterapkan dalam pasukan ini. Rodney Calvin dan Rozaimi Abdul Rahman contohnya menunjukkan usaha yang sangat baik dan kami akan terus berusaha memperkukuh­kan pasukan menerusi tiga perlawanan persahabatan yang diatur selepas ini,” katanya di sini semalam.

Selepas ini KDA FC akan menentang Selangor FC, Skuad Projek Majlis Sukan Negara (MSN) Bawah 21 serta Sarawak United pada 24, 26 dan 27 Februari depan.

Sementara itu pemain sayap, Mohd. Syazwan Zainon mengakui bukan mudah untuk dirinya bersama rakan sepasukan kembali mendapatkan rentak sebenar dalam masa singkat setelah hanya mula dibenarkan berlatih pada 15 Februari lalu.

Namun saya melihat sesuatu yang positif di mana dalam pasukan ini, semua pihak terdiri daripada barisan kejurulatihan dan jurulatih sentiasa berusaha sehabis baik bagi memperbaiki segala kekurangan,” katanya.SUKAN UM ONLINE

Sabtu, 13 Februari 2021

Pemain Kedah tidak sabar turun berlatih

SUKAN



BADDROL dan rakan-rakan sepasukan KDA FC sudah tidak sabar untuk menjalani latihan menjelang aksi sepak mula Liga M pada 5 Mac depan.

Pemain Kedah tidak sabar turun berlatih

Oleh KOSMO!

11 Februari 2021, 11:30 am

Oleh RAFIE AZIMI

KAMI tidak sabar lagi nak turun berlatih.”

Itu luahan kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan kerajaan membenarkan pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjalani sesi latihan bermula Isnin depan.

Menurut tonggak tengah berpengalaman itu, langkah itu sesuatu yang amat positif kepada para pemain meman­dangkan liga akan bermula dalam tempoh tidak sampai sebulan saja lagi.

Ini peluang terbaik untuk kami mengembalikan kecergasan dan semangat memandangkan liga akan bermula tidak lama lagi.“Insya-Allah, kami akan patuhi prosedur operasi stan­dard (SOP) ditetapkan. Bagi para pemain, ini adalah cabaran yang perlu diatasi apatah lagi kami bakal memulakan saingan bertemu JDT bagi me­rebut Piala Sumbangsih,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin telah mengumumkan kebenaran kepada kejohanan liga utama seperti Liga M, Sepak Takraw League dan Liga Hoki Malaysia 2021 menjalani sesi latihan secara kua­rantin dengan mengikuti SOP ketat bermula Isnin depan.

Sementara itu, jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau mahu bertemu dengan anak-anak buahnya di padang secepat mungkin kerana masih banyak persiapan perlu dilakukan sebelum memulakan sai­ngan pada 5 Mac nanti.

Saya fikir tidak ada masalah untuk kami mematuhi SOP kerana sebelum ini pun, kami sentiasa akur kepada setiap arahan ditetapkan kerajaan semasa menjalani latihan serta mengharungi perlawanan.

Ketika ini tumpuan saya hanya pada Kedah tanpa mahu terlalu memikirkan mengenai kekuatan JDT,” katanya.SUMBER-KOSMO ONLINE

Khamis, 14 Januari 2021

Kpah teruja kehadiran pemain baharu KDA FC

Oleh KOSMO!

14 Januari 2021, 11:00 am

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI



PENYERANG utama Kedah Darul Aman (KDA FC), Kpah Sherman mengakui cukup teruja dengan kehadiran pemain-pemain baharu dan cukup berkualiti bagi membantu menambah kekuatan pasukan itu pada musim ini.

Menurut pemain berasal dari Liberia itu, dia menyanjung usaha pihak pengurusan dan jurulatih dalam mendapatkan pemain-pemain baharu tersebut.

Saya baru kembali ke Kedah selepas kuarantin di Kuala Lumpur. Melihat barisan pemain baharu, jujurnya saya teruja untuk bergandingan dengan mereka.

Selepas menjalani kuarantin, saya tidak sabar untuk berlatih. Saya sudah bersedia memberikan 100 peratus buat pasukan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Alor Setar semalam.

Pada musim ini, KDA FC diperkuatkan dengan kehadiran pemain lincah dari Lebanon, Rabih Ataya dan pemain kebangsaan Singapura, Anumanthan Mohan Kumar.

Kedua-dua pemain itu dijangka memberi impak buat pasukan kerana masing-masing memiliki rekod cemerlang ketika beraksi buat pasukan UiTM FC dan Hougang United pada musim lalu.

Mengulas lanjut Kpah berkata, dia yakin Kedah mampu untuk meraih piala musim ini selain melangkah jauh dalam cabaran Piala AFC.

Kedah merupakan pasukan yang baik dan saya sentiasa memiliki kepercayaan kepada setiap anggota pasukan. Kini kami masih ada tempoh kira-kira sebulan untuk memantapkan pa­sukan dan saya percaya, banyak perkara boleh dilakukan dalam tempoh itu.

Saya sayangkan pasukan ini dan akan sentiasa berusaha me­lakukan yang terbaik buat KDA FC sesuai dengan sorakan yang sering dilaungkan peminat iaitu ‘Pulun Kedah Pulun’,” katanya.Piala Asia 1976 merupakan edisi keenam kejohanan Piala Asia, kejohanan bola sepak di rantau Asia. Tempat kejohanan diadakan di Iran. Enam pasukan dipecahkan kepada dua kumpulan yang mempunyai tiga pasukan sekumpulan.

SUMBER-KOSMO ONLINE