Selasa, 23 Februari 2021

Kekalahan kepada Pulau Pinang tak resahkan Kedah



AKSI persahabatan menentang Pulau Pinang, Ahad lalu bukan ukuran kekuatan sebenar Kedah. - KEDAH DARUL AMAN FC

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

23 Februari 2021, 2:59 pm

ALOR SETAR: Kekalahan 3-1 kepada Pulau Pinang dalam aksi persahabatan di Stadium Batu Kawan semalam tidak boleh dijadikan ukuran terhadap prestasi sebenar Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjelang aksi sulung menentang JDT, 5 Mac depan.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, beliau bersama barisan kejurulatihan ketika ini masih lagi menjalankan beberapa eksperimen termasuk melibatkan pertukaran dalam kalangan pemain.

Begitupun katanya, di sebalik kekalahan itu, terdapat beberapa perkara positif yang diperolehi bagi dijadikan panduan dalam hari mendatang.

Dalam perlawanan semalam, pemain tampak belum 100 peratus berada pada tahap sebenar. Itu boleh difahami kerana kami baru saja dibenarkan untuk kembali berlatih setelah berehat agak panjang sebelum ini.

Begitu pun kebanyakan pemain baharu tampak kian beradaptasi dengan apa yang mahu diterapkan dalam pasukan ini. Rodney Calvin dan Rozaimi Abdul Rahman contohnya menunjukkan usaha yang sangat baik dan kami akan terus berusaha memperkukuh­kan pasukan menerusi tiga perlawanan persahabatan yang diatur selepas ini,” katanya di sini semalam.

Selepas ini KDA FC akan menentang Selangor FC, Skuad Projek Majlis Sukan Negara (MSN) Bawah 21 serta Sarawak United pada 24, 26 dan 27 Februari depan.

Sementara itu pemain sayap, Mohd. Syazwan Zainon mengakui bukan mudah untuk dirinya bersama rakan sepasukan kembali mendapatkan rentak sebenar dalam masa singkat setelah hanya mula dibenarkan berlatih pada 15 Februari lalu.

Namun saya melihat sesuatu yang positif di mana dalam pasukan ini, semua pihak terdiri daripada barisan kejurulatihan dan jurulatih sentiasa berusaha sehabis baik bagi memperbaiki segala kekurangan,” katanya.SUKAN UM ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan