Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
ATAYA kelihatan bersemangat selepas kembali menjalani latihan bersama pasukan di Stadium Darul Aman. FOTO Ihsan KDA FC
Alor Setar : Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Rabih Ataya mahu menjadikan gol jaringannya sewaktu membantu Lebanon pada aksi kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 di Korea Selatan bulan lalu sebagai pembakar semangat selepas kembali semula berlatih bersama skuad Hijau Kuning.
Pemain berusia 31 tahun ini juga turut berazam mahu mencapai tahap aksi terbaik yang disasarkannya dalam Liga Malaysia apabila bersambung semula bulan ini dan juga Piala AFC yang sedang dinantikan statusnya daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
"Gol jaringan ketika bersama skuad Lebanon menentang Turkmenistan bulan lalu membakar semangat saya dalam usaha meningkatkan lagi tahap permainan seterusnya bersama KDA FC pada musim ini.
"Dengan motivasi yang diperoleh ini, saya berharap dapat memberi sumbangan lebih baik bersama KDA FC dalam Liga Malaysia selepas liga bersambung nanti, dan pada masa yang sama menantikan status Piala AFC sama ada dapat dilangsungkan atau sebaliknya pada tahun ini.
"Namun apa yang saya harapkan adalah aksi Piala AFC dapat berlangsung pada tahun ini kerana semua pemain sudah pasti mahu berusaha meningkatkan kemampuan diri bersama KDA FC ke peringkat yang lebih tinggi." katanya.
Ataya yang baharu kembali menjalani latihan bersama pasukan dua hari lalu juga berkata, dalam masa yang sama galakan dan dorongan sedia ada yang diberikan ketua jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak turut menambah keyakinannya dalam usaha peningkatan aksi yang disasarkan.
"Kini saya kembali menjalani latihan bersama pasukan dan tempoh masa yang ada ini saya mahu terus kekalkan momentum kecergasan pada tahap terbaik, yang mana ini sangat penting dalam persiapan pasukan seterusnya." katanya.
Skuad KDA FC sebelum ini melahirkan rasa bangga diatas pencapaian Ataya yang membantu pasukan negara Lebanon untuk layak ke pusingan ketiga saingan kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 di Stadium Goyang, Korea Selatan.
Pencapaian terbaiknya adalah sumbangan jaringan satu gol sewaktu pasukannya menentang Turkmenistan pada 9 Jun lalu selain beberapa aksi bantuan jaringan yang ditampilkan ketika aksi menentang Sri Lanka sebelum itu.
Disiarkan pada: Julai 3, 2021 @ 12:56pm.1
___________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/725868/ataya-bawa-bekalan-motivasi-untuk-kda-fc
Tiada ulasan:
Catat Ulasan