Sabtu, 10 Mac 2018

Kedah gagal lakukan kejutan


ARKIB : 18/03/2009
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusankedah@utusan.com.my

PEMAIN Kedah, Mohd. Khyril Muhymeen (kanan) menanduk bola sambil dihalang pertahanan Chonburi FC pada pertembungan Piala AFC di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam. Chonburi FC menang 1-0. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR - Hajat membuat kejutan di gelanggang sendiri gagal ditunaikan Kedah apabila tewas 0-1 kepada Chonburi FC dari Thailand pada perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2009 di Stadium Darulaman, semalam.

Selepas tewas 1-3 kepada ACB Hanoi pada perlawanan terdahulu, Kedah yang cuba mencari kemenangan sulung beraksi garang pada awal permainan dengan mengatur beberapa asakan pantas tetapi dalam satu serangan balas pasukan pelawat, tuan rumah dikejutkan jaringan Kone Mohamed pada minit ke-33.

Dalam perlawanan semalam, sebaik pengadil dari China, Zhao Liang meniupkan wisel permulaan, Kedah tampak bersemangat mengatur asakan yang menyaksikan pada minit kedua, penyerang Badrol Bakhtiar memperoleh peluang keemasan tetapi rembatannya tersasar.

Ini membangkitkan semangat Kedah untuk meneruskan asakan tetapi kecetekan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan ketiadaan penyudah menghampakan penyokong tuan rumah walaupun beroleh kesempatan.

Bagaimanapun, perlawanan kembali seimbang dengan Chonburi FC pula mencemaskan benteng pertahanan Kedah, namun tuan rumah tanpa beberapa tonggak masih mampu mengekang asakan pelawat yang membariskan tujuh pemain kebangsaan dan pemain import.

Akhirnya dalam satu gerakan, penyerang Chonburi FC, Kone mudah memperdayakan pemain pertahanan, Victor Andrag sebelum menyepak masuk ke penjuru gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Helmi Eliza Alias pada minit ke-33 untuk pasukan pelawat mendahului 1-0.

Walaupun ketinggalan, Kedah tetap bersemangat untuk mencari jaringan penyamaan pada babak kedua dengan menyaksikan Badrol sekali lagi mempunyai peluang untuk merembat ke dalam pintu gol Chonburi FC ketika penjaga gawang, Kosin Hathairattanakool terlajak ke depan.

Namun, sepakan Badrol ditampan pemain pertahanan, Surat Sukha untuk bola yang melantun kembali ke dalam dakapan Kosin pada minit ke-46.

Permainan kemudiannya kembali seimbang tetapi tuan rumah ternyata gagal menembusi benteng Chonburi FC untuk kedudukan kekal dengan pasukan pelawat memungut mata penuh di Stadium Darulaman.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan melibatkan pasukan dari Malaysia, Johor FC turut gagal mencatat kemenangan apabila tumpas 3-1 kepada wakil Indonesia, PSMS Medan.

Johor bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila terlebih dulu membuka jaringan di Stadium Jaka Baring menerusi gol Mohd. Azuwad Md. Arip pada minit ke-21.

Begitupun, bekas bintang penyerang Selangor, Elie Aiboy membantu kebangkitan PSMS dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-53 dan 64.

Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan pemain tengah, Leonardo Martins Dinelli pada minit ke-55.

Kemenangan ini membolehkan PSMS melonjak ke tangga kedua Kumpulan F dengan mengutip tiga mata, tiga mata di belakang pendahulu, South China dari Hong Kong yang menumpaskan wakil Maldives, V.B Sport 2-1.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz59KoutNkM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan