ARKIB : 04/04/1998
KEDAH akan cuba mengikis 'badi'
dalam cabaran sulungnya menentang Kuala Lumpur pada pertandingan bola sepak
Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini, lapor MARZUKI
MOHAMAD.
''Badi yang dialami ketika
bertemu Kuala Lumpur pada tiga perlawanan akhir Piala Malaysia, berturut-turut
iaitu tahun 1987, 1988 dan 1989, masih menghantui Kedah,'' kata ketua pasukan,
Radhi Mat Din.
Bagaimanapun, katanya, seluruh
jentera pasukan termasuk dirinya sendiri sudah menguatkan azam bukan sahaja
untuk mengikis badi tetapi juga mencari kemenangan pertama bila bertemu Kuala
Lumpur.
Secara kebetulan, Kuala Lumpur
yang menjuarai Piala Malaysia pada ketiga-tiga tahun itu, kini masih di bawah
asuhan jurulatih, Chow Kwai Lam.
Sementara bagi Radhi pula,
menjadi pemain tunggal dalam skuad berkenaan yang masih meneruskan
penglibatannya memimpin hijau kuning.
Selepas itu, katanya, pertemuan
Kuala Lumpur - Kedah, sentiasa memberi kelebihan kepada pasukan kota raya itu,
bagaimanapun, ada kalanya hijau kuning juga berjaya menjinakkan pencabarnya
itu.
Mengenai percaturan pemain yang
bakal diturunkan, ketua pasukan itu memberitahu kesemua pemain utama mungkin
dapat beraksi pada perlawanan pembuka tirai itu.
''Ini termasuk striker kita,
Che Zambil Ahmad, bagaimanapun keputusan terakhir sama ada Zambil boleh turun
atau tidak, bergantung atas nasihat Dr. Sarwan, ''katanya.
Dalam hubungan ini, Kedah tidak
menghadapi masalah di barisan serangan kerana tunggaknya menjadi pilihan antara
Zambil dan Zulfatah Dzulkarnain yang bergandingan dengan Carlos Roberio.
Peranan membantu kelancaran
barisan serangan turut dipikul bersama Andre Luis Almeida Do Nascimento, Mohd.
Nidzam Adzha Yusoff, Radhi Mat Din dan Mohamad Feriza Ismail, walaupun sebagai
pemain midfeild.
Sementara barisan pertahanan,
terdiri Khamal Idris Ali, Kane Mamadau Diallo dan Mohamad Farouk Ismail,
termasuk penjaga gol, S. Suresh, seharusnya lebih berhati-hati.
Ini kerana pertahanan hijau
kuning sejak dua tiga tahun ini cukup rapuh, tidak semantap zaman Lee Kin Hong,
Mohamad Ramli, Ng Chew Beng dan K. Ravichandran.
Biar apa pun, kata Radhi, hijau
kuning kini sudah bersedia dan seluruh pasukan berada dalam keadaan dan sausana
ceria di bawah pengurusan baru, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah.
Di samping itu, katanya,
pasukan juga berjaya mengwujudkan persefahaman baik di kalangan pemain import,
lama dan muka- muka baru.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FrMGTXEi
© Utusan Melayu (M) Bhd