MyMetroArena
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
SORAKAN dan sokongan penyokong Kedah untuk skuad Lang
Merah tonik terbaik membangkitkan semangat pemain yang akan berjuang
habis-habisan pada aksi separuh akhir kedua menentang Pahang di Stadium Darul
Makmur, Sabtu ini.
Menurut kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, kehadiran serta
sokongan penyokong setia Kedah di Stadium Darul Makmur dapat membantu rentak
persembahan pasukan dalam memburu kemenangan seterusya layak ke pentas akhir.
"Sokongan padu semua penyokong Kedah sangat
diperlukan kerana dijangkakan saingan akan menjadi begitu sengit memandangkan
peluang kedua-dua pasukan masih terbuka. Sokongan sepanjang 90 minit sudah
pasti memberi kekuatan buat kami yang akan beraksi di tempat lawan dengan
stadium bakal dipenuhi ramai penyokong skuad Tok Gajah.
"Jadi dengan bergemanya sorakan 'Pulun Kedah Pulun'
di Kuantan nanti, mampu meningkatkan lagi motivasi dan semangat untuk Kedah
berjuang hingga ke hujung perlawanan," katanya.
Pemain berpengalaman Kedah itu juga mengakui sokongan
penyokong selama ini menjadi faktor penting dalam setiap perlawanan dilalui
skuad berkenaan.
"Kita pernah melalui waktu sukar apabila
ketinggalan, namun dengan sokongan daripada penyokong serta semangat
ditunjukkan pemain, kita mampu bangkit dengan kemenangan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober
2019 @ 6:32 PM