Sabtu, 27 Julai 2019

Baddrol puas cipta sejarah

Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
 
PENGADIL perlawanan dari Jepun, Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Baddrol puas cipta sejarah
Oleh Mohd Fitrie Muhammad danZulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui puas selepas berjaya mencipta sejarah peribadi dengan menjulang Piala FA buat kali keempat bersama Helang Merah.

Kedah dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini selepas menundukkan satu lagi pasukan dari utara tanah air, Perak 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Baddrol yang menjadi perancang utama Helang Merah tidak pernah berhijrah ke pasukan lain sepanjang kerjayanya sudah menjulang trofi itu pada 2007, 2008 dan 2017.

"Saya memang tekad untuk mendapatkan piala ini sebab saya ingin mencipta sejarah sebagai seorang pemain yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab," kata Baddrol pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah seharusnya perlu berterima kasih kepada pemain gantian, Fadzrul Danel Mohd Nizam selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-105 memberikan kejuaraan Piala FA buat kali kelima kepada Helang Merah.

Selain itu, Baddrol menjelaskan kejayaan di Piala FA menjadi suntikan semangat buat pasukannya untuk fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan depan.

"Syukur kami dapat bawa balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia. Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am

Jumaat, 26 Julai 2019

Tokok trofi

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
AKSI final Piala FA berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini menjadi misi ‘serampang dua mata’ buat ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Ia kerana perlawanan itu bukan saja menjadi medan buat skuad Lang Merah menjulang kejuaraan sulung musim ini, malah Baddrol turut mengintai peluang menambah koleksi kejuaraan Piala FA yang keempat selepas memenanginya pada 2007, 2008 dan 2017.

Apapun, ia bukan tugas mudah buatnya apabila berdepan skuad The Bos Gaurus yang turut diperkuatkan dengan pemain ternama tempatan selain trio import dari Brazil iaitu Leandro, Ronaldo Henrique Silva dan Careca.

Justeru, pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu menuntut rakan sepasukan tidak memandang mudah sambil berharap barisan pemain muda Kedah mampu menyerap segala tekanan, sekali gus keluar selaku juara.

“Misi saya kali ini adalah untuk mengumpul piala keempat (Piala FA) pada tahun ini. Saya mengharapkan pemain pasukan Kedah malam esok (malam ini) fokus dengan lebih tinggi dan bagilah apa yang ada malam itu habis-habisan dan buatlah terbaik pada final nanti,” katanya pada sidang media Piala FA, di sini, semalam.

Jelasnya, dia turut mengingatkan rakan sepasukan supaya berjaga-jaga dengan provokasi tonggak tengah Perak, Leandro.

“Bagi saya sendiri, provokasi daripada Leandro kita kena faham permainan dia memang macam itu. Jadi bagi kita dah main lama di Liga Malaysia, kita buat macam biasa jelah buat tak tahu,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:10 AMSUMBER