ARKIB : 11/05/2011
Pemain Kedah, Mohd. Azmi Muslim (kanan) dihalang
pemain Selangor Mohd. Asararuddin Putra Omar pada pertemuan Liga Super di
Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. - UTUSAN/Halim Khalid
ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Wan Jamak Hassan
kecewa dengan sikap pemain muda pasukannya yang gagal memanfaatkan peluang
beraksi di tempat sendiri, menyaksikan pasukan itu kalah 0-2 kepada Selangor
pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, kelmarin.
Beliau berkata, walaupun beraksi baik pada separuh
masa pertama, namun pada separuh masa kedua, pemain muda yang ditempatkan pada
bahagian serangan tidak bermain bersungguh-sungguh untuk mencari gol
kemenangan.
Sebaliknya, kata beliau beberapa kesilapan yang
dilakukan memberi peluang untuk Selangor memperoleh gol pertama pada minit
ke-59.
"Saya lihat pemain muda terutamanya Ahmad
Shakir Ali yang dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Mohd Khyril
Muhymeen Zambri tidak bermain bersungguh-sungguh dan tidak banyak melakukan
gerakan agresif seperti yang saya harapkan.
"Hilang bola tak nak kejar, ini bukan pasukan
bola sepak kampung, ini pasukan negeri dan dia perlu menghormati bendera dan
pasukan negeri sendiri," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Wan Jamak berkata, tahap ketahanan pemain
sedemikian menyebabkan mereka melakukan beberapa kesilapan sehingga Kedah tidak
dapat mengutip sebarang mata di tempat sendiri.
"Saya ada masa lapan hari lagi sebelum bertemu
Pahang pada 18 Mei ini untuk memperbaiki kesilapan yang telah kita lakukan.
"Saya nak memberi tekanan kepada mereka
(pemain) pun tak patut, sebab bagi saya soal ketahanan tenaga perlu dilakukan
sebelum saingan liga berlangsung dan mereka perlu tahu jadual perlawanan kali
ini begitu padat dan mereka perlu menunjukkan satu ketahanan yang begitu
tinggi.
"Kami akan berusaha untuk mencari pemain
sandaran lain yang boleh membantu jentera serangan dalam usaha untuk mencari
gol kemenangan pada perlawanan akan datang," kata Wan Jamak.
Kedah kini menduduki tangga kelima liga dengan 28
mata.
Kedah akan bertemu Pahang di Stadium Darul Aman dan
kemudian bertemu dengan Kuala Lumpur 21 Mei ini di tempat yang sama. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eKf0A500
© Utusan Melayu (M) Bhd