SENTUHAN barisan hadapannya
cukup menjadi namun Kedah masih perlu membayangkan laluan getir yang akan
dihadapi apabila bertemu Perlis dalam perlawanan Perdana Satu, di Stadium
Utama, Kangar, Sabtu ini.
Kombinasi mantap belum tentu
lagi menjamin laluan mudah jika seluruh jentera Kedah tidak memberi sepenuh
perhatian kepada usaha gigih Singa Utara untuk ''membalut luka'' selepas tewas
0-5 kepada Perak.
Pemain tengah, Mohd. Nidzam
Adzha Yusof yang menyumbat gol pertama sewaktu membantu Kedah membelasah Kuala
Lumpur 5-1 dalam perlawanan pembukaan Perdana Satu, Sabtu lalu, berkata,
kesebelasan utama skuad Kenari seharusnya beranggapan bahawa Perlis pasukan
cukup berbahaya.
''Selepas berjaya menghasilkan
jaringan dalam perlawanan pembukaan, saya yakin Kedah mampu untuk terus memburu
mata penuh asalkan kesemua pemain tidak memandang rendah keupayaan lawan
(Perlis),'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar, semalam.
Mengenai keupayaannya
menghasilkan jaringan, Mohd. Nidzam memberitahu, kemampuan tersebut terhasil
daripada keyakinan tinggi untuk mendapatkan semula 'sentuhan' setelah gagal
beraksi secara konsisten sebelum ini.
''Ini adalah permulaan terbaik
untuk saya kembali mencari lebih banyak jaringan buat Kedah setelah gagal
memberi banyak sumbangan pada musim lalu,'' tambahnya.
Sumbangan Mohd. Nidzam agak
terbatas pada musim lalu kerana lebih banyak berehat selepas mengalami
kecederaan serius yang menyaksikan dia hanya berkesempatan menjaringkan empat
gol dalam pusingan kedua Liga Perdana.
Ditanya sama ada dia kekok
beralih posisi daripada pemain sayap ''midfield,'' Mohd. Nidzam berkata,
perubahan tersebut bukannya masalah besar untuk diterapkan sewaktu beraksi
dengan Kedah.
''Sememangnya agak selesa di bahagian
sayap tetapi saya juga boleh bermain di posisi ''midfield'' kerana mendapat
sokongan padu daripada rakan sepasukan.
''Bagi saya, pasukan Kedah
musim ini lebih mantap kerana kesemua pemain dapat menjalin persefahaman dengan
lebih berkesan,'' tambah beliau.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4GLgtmKvg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiga pemain digantung perlu
tingkatkan prestasi
TIGA pemain Olimpik 2000
Muhamad Khalid Jamlus, V. Saravanan dan M. Elangoo perlu membuktikan kemampuan
sebenar mereka sebelum disenaraikan semula dalam kesebelasan utama mengharungi
kempen Perdana Satu, lapor AMRAN MULUP.