Sabtu, 24 April 2021

Aidil kagum kebangkitan pemain

Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my



PEMAIN KLCity FC mengawal ketat tonggak KDA FC pada aksi di Stadium Darul Aman semalam. FOTO Ihsan KDA FC

Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak meluahkan rasa kagum dengan semangat kebangkitan yang dibuktikan pemainnya pada saat akhir dan seterusnya menghadiahkan kemenangan bermakna menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 di Stadium Darul Aman semalam.

"Tahniah untuk semua pemain di atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan, saya seakan tidak percaya dalam beberapa minit terakhir saja, pemain berjaya bangkit mendapatkan tiga mata yang dicari selepas ketinggalan.

"Pemain menunjukkan sikap tidak mudah menyerah kalah dan memburu kemenangan hingga ke saat akhir perlawanan walaupun kita tahu KL City memiliki kekuatan dengan membariskan pemain yang kompak dan teratur hingga memaksa kami bekerja dengan lebih keras sepanjang tempoh perlawanan.

"Pemain gantian dan pemain muda yang masuk juga menunjukkan usaha terbaik mereka bagi membantu pasukan, dan inilah karektor yang ada dalam pasukan yang saya harap dapat terus konsisten untuk perlawanan akan datang," katanya.

Menyentuh mengenai keseluruhan aksi kemenangan ini, Aidil Sharin berkata, skuadnya bagaimanapun tidak boleh bersikap puas hati dengan kejayaan yang diperoleh ini, sebaliknya, setiap pemain harus terus mempertingkatkan lagi keupayaan diri dalam latihan bagi menghadapi banyak lagi perlawanan selepas ini.

"Kita akan melihat kembali setiap aspek kelemahan yang ada dalam perlawanan melalui video selepas ini untuk mengatasi setiap kelemahan dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Tambah Aidil Sharin lagi, dengan jumlah dua gol yang dibolosi skuadnya semalam, beliau berharap kekuatan barisan pertahanan juga perlu dipertingkatkan lagi terutama aspek konsentrasi bagi mengatasi kesilapan mudah.

"Kita mahu jentera pertahanan terus meningkatkan keupayaan mereka selanjutnya dan di akhir musim nanti kita berharap dapat melihat keupayaan mereka tidak dibolosi banyak gol," katanya lagi.

Disamping itu, pengendali skuad Hijau Kuning ini juga melahirkan perasaan bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Kedah yang hadir memberi sokongan di Stadium Darul Aman.

"Inilah semangat yang ditunjukkan di Stadium Darul Aman, di mana apabila kita ketinggalan, penyokong juga memainkan peranan mereka dengan memberi sorakan semangat untuk pasukan kembali bangkit.

"Saya juga mengingatkan pemain bahawa kemenangan ini sangat penting untuk penyokong yang hadir dan yang menonton dari luar yang sangat mengharapkan kemenangan pasukan," katanya.

SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 12:19pm

Semua pemain bagaikan hero - Tchetche

Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my



PENYERANG import KDA FC, Tchetche ceria meraikan gol ketiga pasukannya pada aksi menentang KL City di Stadium Darul Aman semalam. FOTO Ihsan KDA FC

Alor Setar : Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kipre Tchetche tidak mahu melabelkan dirinya seorang sebagai hero pasukan selepas meledakkan dua gol membantu skuad Hijau Kuning bangkit menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 di Stadium Darul Aman semalam.

"Saya bukanlah hero tetapi saya hadir untuk membantu pasukan mencari kemenangan namun dengan kerjasama semua pemain yang ditunjukkan ada malam ini menjadikan mereka juga sebenarnya hero dalam pasukan.

"Saya rasa bertuah dapat menyumbangkan dua gol malam ini dan saya juga anggap tuah menyebelahi kami dan saya ucapkan tahniah kepada semua pemain dalam pasukan yang berjuang hingga ke minit terakhir.

"Bagi saya kami berusaha dengan penuh semangat dan disiplin serta tidak mengalah untuk bangkit disamping tidak mudah untuk melepasi ruang pertahanan KL City yang begitu kompak, namun kami berjaya melakukan perancangan dari sayap seperti yang diarahkan oleh jurulatih," katanya.

Penyerang kelahiran Ivory Coast yang sudah meledak empat gol setakat ini berkata dia menyifatkan keadaan perlawanan ini sebagai 'gila' dan mendebarkan kerana dua kali Kedah terpaksa bangkit menyamakan kedudukan termasuk penjaga gol yang berjaya menyelamatkan kedudukan di saat genting.

"Tugas saya adalah sebagai 'Target Man' malam ini dan peningkatan tempo permainan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan menambahkan lagi debaran dan semangat semua pemain untuk berjuang hingga tiupan wisel penamat.

"Pada aksi lalu sewaktu menentang Terengganu dan Perak, saya tidak dapat menyempurnakan gol pada minit akhir yang mana menyebabkan kami terlepas mata penuh, namun pada kali ini kami merasa cukup bertuah dapat bangkit kembali memungut tiga mata.

"Boleh dilihat semua pemain merasa puas dan gembira dan inilah suasana dan keadaan yang semua dinantikan dalam setiap perlawanan bola sepak," katanya.

Tchetche juga mengakui agak terasa dengan ketiadaan rakan sepasukannya Kpah Sherman yang digandingkan bersamanya pada setiap perlawanan.

"Tidak dinafikan pasukan agak terasa dengan ketiadaan Sherman pada malam ini namun, saya perlu kuatkan semangat dan teruskan perjuangan untuk beraksi di bahagian atas dan saya perlu ubah sedikit corak permainan sebelum ini agar saya tidak berada jauh dalam kawasan serangan.

"Gol kemenangan ini juga adalah hadiah buat seluruh penyokong Kedah yang mengharapkan kemenangan di laman sendiri kali ini," katanya.

SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 3:25pm

Jumaat, 2 April 2021

KDA FC menang bukan kerana 'tuah'

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 03 April 2021




Aidil Sharin mahu semua pemainnya melupakan segera kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan fokus kepada aksi seterusnya bertemu Selangor FC pada Selasa ini. FOTO IHSAN KDA FC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak bergantung kepada 'tuah' apabila menang mengatasi Sri Pahang FC 3-1 selepas pelawat dilayangkan satu kad merah dan tuan rumah pula memperoleh satu sepakan penalti pada aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, usaha yang ditunjukkan oleh semua pemainnya sepanjang lebih 90 minit memastikan kelabnya berjaya meraih tiga mata penting di laman sendiri.
Menurutnya, bola sepak adalah sukan yang memerlukan kerja keras untuk memburu gol dan perkara tersebut telah diterjemahkan oleh anak-anak buahnya semasa mengatasi skuad Tok Gajah.
"Saya tidak begitu percaya kepada 'tuah' dalam sukan bola sepak, kita yang perlu bekerja keras untuk mencipta peluang. Jika kita tidak berusaha mencipta peluang, kita tidak mampu untuk menjaringkan gol," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pengendali dari Singapura itu berkata, beliau mengakui pasukannya bermula agak perlahan pada awal separuh masa pertama sehingga menyaksikan Tok Gajah berjaya memberikan tekanan kepada mereka.
"Bagaimanapun saya memuji kebangkitan semula pasukan selepas 15 minit kerana berjaya memberikan saingan sengit dan saling berbalas serangan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Bukan mudah untuk menewaskan Sri Pahang FC walaupun mereka bermain 10 orang kerana dapat dilihat pelawat memberikan tumpuan kepada barisan pertahanan mereka. Namun kelebihan berada di pihak kami kerana mampu melakukan serangan dengan lebih baik," katanya.
Aidil Sharin berkata, beliau mahu pemainnya segera melupakan kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan kembali fokus kepada aksi seterusnya menentang Selangor FC pada Selasa ini di laman lawan.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyifatkan kad merah yang dilayangkan oleh pengadil terhadap Herold Goloun pada minit ke-16 menyebabkan kelabnya hilang rentak permainan untuk sekurang-kurangnya seri di Darul Aman.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan anak-anak buahnya bermain dalam tertekan kerana beraksi dengan 10 pemain sahaja.
"Pada separuh masa pertama, kita masih lagi melawan namun apabila separuh masa kedua, gol penalti yang diperoleh oleh tuan rumah memusnahkan segalanya. Selain itu nampak keletihan yang ketara ditunjukkan oleh pemain saya kerana telah memberikan segala-galanya," katanya.
Pada perlawanan tersebut, KDA FC memperoleh jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke- 36, ke- 71 dan sepakan penalti Kpah Sherman pada minit ke-46 manakala Sri Pahang FC memperolehi gol tunggal menerusi Muhammad Nur Izzat Che Awang pada minit ke-41.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/131765/BERITA/Sukan/KDA-FC-menang-bukan-kerana-tuah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf