Sukan
Jumaat, 21
Ogos 2015 | 10:52pm
Trofi Liga
Perdana 2015 milik Kedah, Pulau Pinang naik pangkat
PEMAIN Kedah,
Chidi Edeh melakukan aksi akrobatik selepas menjaringkan gol ke gawang DRB
Hicom dalam perlawanan akhir Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil. -
Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR:
Kedah gah menjulang trofi Liga Perdana 2015 selepas mencatat kemenangan besar
4-1 ke atas DRB Hicom, malam tadi ketika T-Team terpaksa gigit jari apabila
tumbang kepada Kuantan FA.
Kemenangan
menyaksikan Kedah yang hanya memerlukan satu mata untuk dinobat juara tidak
mampu lagi dicabar sekali gus kembali beraksi dalam saingan Liga Super, musim
depan.
Mengiringi
Kedah yang dibimbing jurulatih, Tan Cheng Hoe ke Liga Super ialah Pulau Pinang
yang melakar kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di laman lawan.
Begitupun
malang bagi T-Team apabila kemenangan yang diharapkan bertukar mimpi ngeri
apabila tewas 2-1 kepada Kuantan FA sekali gus menamatkan kempen musim ini di
kedudukan ketiga.
Beraksi di
Stadium Nasional Bukit Jalil, Kedah jelas tidak mahu menghampakan ribuan
penyokong yang hadir dan meledak gol seawal minit ketiga menerusi jaringan
pemain import, Sandro da Silva yang turut meledak hatrik pada perlawanan itu.
Begitupun,
kedudukan pantas disamakan DRB Hicom menerusi jaringan Ivan Babic, empat minit
kemudian sebelum Kedah mengganas dengan menambah dua lagi gol sebelum babak
pertama berakhir.
Gol kedua
Kedah dijaringkan Chidi Edeh pada minit ke-9 diikuti jaringan kedua Silva pada
minit ke-33.
Edeh kemudian
menjaringkan gol keempat Kedah sebelum Silva melengkapkan hatriknya pada minit
ke-80.
Di Stadium
Darul Makmur, hasrat T-Team untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan
terkubur selepas mencatat kekalahan mengejutkan kepada Kuantan FA.
Kuantan FA
jelas tidak mahu mensia-siakan aksi di laman sendiri dengan mendahului 2-0
berakhir babak pertama menerusi jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-17
diikuti gol Milan Purovic pada minit ke-22.
Kebangkitan
yang diharapkan T-Team pada babak kedua tidak kesampaian apabila hanya mampu
meledak satu gol.
Di Stadium
Hang Jebat, Melaka, Pulau Pinang turut meraikan kejayaan kembali ke saingan
elit bola sepak Malaysia dengan kedua-dua jaringan diledakkan pada kedua-dua
masa permainan.
Gol pertama
Pulau Pinang dijaringkan Azinee Taib seawal minit ke-8 diikuti gol Hilton
Moreira pada minit ke-81.
Dalam pada
itu, Kuala Lumpur mengiringi KL SPA ke saingan Liga FAM musim depan selepas
mencatat kekalahan 2-1 kepada Negeri Sembilan.[i]