ARKIB : 31/05/2009
Oleh ZAINUL AZHAR ASHARI
sukan@utusan.com.my
SHAFIZAN Hashim (kanan) diasak
hebat oleh pemain Perlis, Amar Rohidan (kiri) pada perlawanan Liga Super di
Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi. Mingguan/Kamal Basir
ALOR SETAR Kedah gagal
menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri Stadium Darulaman, di sini
untuk mencari penawar apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis pada
perlawanan bola sepak Liga Super, malam tadi.
Selepas dikecewakan Perak 1-0,
Kedah cuba bangkit untuk memperbaiki kedudukannya tetapi saingan sengit dari
Perlis yang turut memburu mata penuh untuk memintas Selangor di tangga teratas
liga menyaksikan tuan rumah terpaksa berkongsi mata.
Kedua-dua pasukan berjiran itu
masing-masing mencari kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam kelompok
teratas liga khususnya Perlis yang berada di tangga kedua dengan 38 mata
manakala pendahulu, Selangor mengumpul 40 mata.
Sebaik pengadil, Mohd. Yusof Md.
Karim meniupkan wisel memulakan aksi, hampir 30 minit permainan berlangsung,
kedua-dua pasukan gagal menemui rentak walaupun terdapat beberapa serangan yang
diatur.
Kedah yang menyandarkan harapan
kepada Mohd. Khyril Muhymeen dan Badrol Bakhtiar di barisan depan masih gagal
menguji penjaga gol Perlis, Mohd Farizal, begitu juga dengan pasukan pelawat
yang mengharapkan sentuhan Nizaruddin Yussof.
Malang bagi Kedah apabila penjaga
gawangnya, Mohd. Helmi Eliza Elias terpaksa dikeluarkan pada minit ke-33
selepas dia mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan kubu Kedah dalam
satu pergelutan di gol pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun, peluang di sebalik
ketiadaan Helmi Eliza gagal dimanfaatkan Perlis, malah penjaga gol gantian,
Mohd. Al-Hafiz langsung tidak menerima tekanan daripada penyerang pasukan
pelawat.
Selepas terikat tanpa jaringan
pada babak pertama, Kedah cuba bangkit untuk mencari jaringan pendahuluan pada
separuh masa kedua menerusi asakan bertali arus ke kubu pasukan pelawat.
Selang seminit aksi babak kedua
berlangsung, Kedah hampir memperoleh jaringan tetapi sepakan percuma cantik
Badrol dari luar kotak penalti Perlis ditepis penjaga gol, Mohd. Farizal,
Marlias sekali gus melegakan Perlis.
Dua minit selepas itu, Kedah
terus melakukan serangan gagal dimanfaatkan Mohd. Farizal beraksi cemerlang
menepis rembatan Mohd. Faizal Abu Bakar.
Ternyata Kedah
mempersiakan-siakan beberapa peluang lagi walaupun pada pemainnya berada pada
kedudukan cukup selesa untuk menghasilkan gol termasuk percubaan lemah Mohd.
Sabri Abu yang berjaya didakap kemas Mohd. Farizal pada minit ke-73.
Seminit kemudian, sekali lagi
kesempatan terhidang buat Kedah tetapi rembatan kencang jarak jauh Mohd. Hisham
Sofi hanya sedikit melewati palang gol Perlis, begitu juga rembatan Mohd.
Khyril yang tersasar pada minit ke-78 dan kemudiannya aksi diteruskan tanpa
jaringan sehingga perlawanan berakhir.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5XvlNDPrj
© Utusan Melayu (M) Bhd